April
26
Pantun empat kerat – dagang
Tanam delima ditengah padang,
Raja berarak dari asahan,
Terimalah saya anaknya dagang,
Dating dengan kain basahan.
Buah langsat gendong di kain,
Pokok rendang bergantung-gantung,
Bukan dagang datang bermain,
Dagang datang mencari untung.
Kedidi di pasir gosong,
Anak Murai putih dadanya,
Tarik nafas kenangkan untung,
Jatuh berderai air matanya.
Ada anjung tingkapnya empat,
satu pintu hadap ke laut,
anak dagang datang mencari tempat,
sebagai ajal ditunda maut.
Sengkalang kayu sengkawang,
Ketiga dengan kayu kelat,
Dagang saya sudah terbuang,
Sebagai ikan di luar belat.
Anwar Ridhwan ( penelenggara )
Hati Mesra Pantun Melayu Sebelum 1914,2004
Dewan Bahasa dan Pustaka
Maksud pantun/ tema
Pantun ini bertemakan kemanusiaan dan kemasyarakatan yang berkaitan dengan kehidupan anak dagang. Mengupas untung nasib, perasaan, perlakuan, dan penerimaan masyarakat terhadap anak dagang.
Rangkap 1
Penulis menyatakan bahawa anak dagang harus sentiasa merendah diri agar masyarakat dapat menerima kehadiran dirinya, anak dagang yang hidup merempat dan hina.
Rangkap 2
Penulis menyatakan bahawa anak dagang merantau bukanlah untuk membuang masa tetapi untuk mencari kekayaan atau kesenangan bagi membaiki taraf hidup mereka.
Rangkap 3.
Pada rangkap ketiga penulis menyatakan bahawa ada ketikanya seseorang anak dagang ( perantau ) merasa sedih apabila mengenang kan untung nasibnya yang tidak menentu.
Rangkap 4
Pada rangkap keempat penulis menyatakan bahawa anak dagang ( perantau ) terpaksa menempuhi kegetiran hidup mencari tempat tinggal yang sesuai. Anak dagang berusaha dengan keras memperjudikan untung nasib hidupnya bagi mencari tempat yang sesuai untuk mengumpulkan kekayaan dan memperbaiki taraf hidup.
Rangkap 5
Rangkap terakhir anak dagang menyatakan kesedihannya dan mearasa terhina apabila kehadirannya tidak dipedulikan oleh masyarakat sebab miskin dan melarat.
Pantun empat kerat – Adat dan Etika
Anak cina bertimbang madat
Dari Mekasar langsung ke Deli,
Hidup di dunia biar beradat,
Bahasa tidak terjual beli.
Apalah tanda batang putat,
Batang putat bersegi buahnya,
Apalah tanda orang beradat,
Orang beradat tinggi maruahnya.
Batu kucubung warna unggu,
Ditatah berlian batu bermutu,
Adat melayu menyambut tetamu,
Hamparkan tikar lebarkan pintu.
Daun sireh sudah disusun,
Siap dengan gambir dan kapur,
Adat semang pulang ke dusun,
Adat belut pulang ke lumpur.
Harun Mat Piah ( penyelenggara )
Puisi Melayu Tradisional : nasihat dan pengajaran,2004
Dewan Bahasa dan Pustaka
Maksud pantun/ tema
Bertemakan kemanusiaan dan kemasyarakatan yang berkaitan dengan adat dan etika. Untuk mencapai kehidupan yang baik, manusia perlu mengikut aturan hidup yang ditetapkan dan diterima umum oleh ahli masyarakat sebagai sebahagian peraturan, adat, dan etika kehidupan.
Rangkap 1
Maksudnya cara berbahasa seseorang mencerminkn nilai dirinya. Seseorang yang bercakap dengan sopan dan santun di anggap sebagai berbudi bahasa.
Rangkap 2
Maksudnya tingkah laku mencerminkan maruah diri seseorang. Orang yang pandai menjaga tingkah lakunya dipandang tinggi dan bermaruah.
Rangkap 3
Maksudnya bagi orang melayu, meraka mengalu alukan tetamu yang datang berkunjung ke rumah
Dengan membentangkan tikar baru untuk alas duduk tetamu dan membukakan pintu rumah serta menjemput tetamu masuk. Lambing memuliakan tetamu.
Rangkap 4
Walau kemana sekalipun anak dagang merantau, akhirnya akan kembali semula ke tempat asal. Lamabang tidak melupakan asal usul.
Pantun Empat Kerat-Nasihat
Ada kolam ada masjid,
Tempat orang sembahyang raya,
Tengah malam bulan terbit,
Bintang sebiji membawa cahaya.
Air surut memungut bayam,
Sayur diisi di dalam kantung,
Jangan diikut resmi ayam,
Bertelur sebiji riuh sekampung.
Alang-alang menjeruk asam,
Biar lebih kurang jangan,
Alang-alang menyeluk perkasam,
Biar sampai ke pangkal lengan.
Ambil golok di atas puan,
Hendak berakit ke Kuala Kedah,
Usah dijolok sarang tebuan,
Badan sakit sesal tak sudah.
Harun Mat Piah ( penyelenggara )
Puisi Melayu Tradisional : nasihat dan pengajaran,2004
Dewan Bahasa dan Pustaka
Maksud/tema pantun.
Pantun ini memberikan nasihat kepada manusia kea rah membentuk peribdai yang mulia.
Rangkap 1
Nasihat agar suka menolong orang,membantu dalam kesusahan dan kesulitan. Seperti sebiji bintang yang menyinari langit gelap pada waktu malam untuk memandu arah perjalanan manusia.
Rangkap 2
Nasihat agar kita jangan suka membuat kecoh atau heboh apabila mendapat sesuatu atau berhadapan dengan masalah yang kecil.
Rangkap 3
Maksudnya apabila melakukan sesuatu pekerjaan lakukan dengan bersungguh-sungguh sehingga Berjaya dan hasilnya maksimun.
Rangkap 4
Maksudnya mendapat susah kerana melakukan sesuatu perkara yang tidak elok dan tidak berfikir semasa bertindak. Apabila sudah berlaku, tidak guna menyesal. Sama seperti perbuatan memusnah kan sarang tebuan, menyebabkan badan sakit kerana disengat tebuan berbisa tersebut.
Pantun empat kerat – budi
Akar keladi melilit selasih,
Selasih tumbuh di hujung taman,
Kalungan budi junjungan kasih,
Mesra kenangan sepanjang zaman.
Ambil galah jolok ramunia,
Kait mari sampai berdiri,
Kita hidup atas dunia,
Buat baik taburkan budi.
Ambilkan saya buah delima,
Masak sebiji di balik daun,
Budi tuan saya terima,
Jadi kenangan bertahun-tahun.
Anak dara berkain cukin,
Dari daik bulan puasa,
Tidak kira kaya miskin,
Asalkan baik budi bahasa.
Harun Mat Piah ( penyelenggara )
Puisi Melayu Tradisional : nasihat dan pengajaran,2004
Dewan Bahasa dan Pustaka
Maksud/tema
Berkaitan dengan kepentingan budi, jasa, kesopanan tutur kata, dan tingkah laku dalam kehidupan manusia.
Rangkap 1
Seseorang yang menerima budi dan jasa baik seseorang akan sentiasa mengenangnya sepanjang masa
Rangkap 2
Semasa hidup di dunia, manusia digalakkan berbuat baik, banyak menabur budi dan jasa kerana manusia akan dihormati sewaktu hidup dan dikenang sesudah mati.
Rangkap 3
Budi baik yang diberikan kepada seseorang akan sentiasa diingat, dikenang dan dihargai sepanjang masa.
Rangkap 4
Masyarakat melayu sangat menyanjung nilai budi bahasa, iaitu kesopanan mengatasi soal kebendaan, kekayaan atau kemiskinan seseorang.
Pantun empat kerat-cindai
Naik bukit membeli inai,
Inai tidak berbunga lagi,
Kain songket bertepi cindai,
Cindai tidak berguna lagi.
Kapal berlayar menimbang arus,
Patah kemudi meyusur pantai,
Tuan laksana cindai yang halus,
Sama padan maka dipakai.
Kapal belayar menimbang arus,
Patah kemudi menyusur pantai,
Sudah jumpa songket yang bagus,
Kalah membeli menang memakai.
Dari Makasar pergi Palembang,
Lalu di Ambon ke Majapahit,
Sungguh kasar kainnya jarang,
Kalau ditenun menjadi baik.
Anwar Ridhwan ( penelenggara )
Hati Mesra Pantun Melayu Sebelum 1914,2004
Dewan Bahasa dan Pustaka
Maksud/tema
Pantun ini bertemakan cindai iaitu lambing sesuatu yang perlu sentiasa menjaga mutu atau maruah diri sepanjang masa agar terus dipandang mulia dan berharga.
Rangkap 1
Maksudnya sesuatu ( barangan atau sifat manusia ) yang baik atau bernilai tidak akan terserlah nilainya atau tidak berguna, jika diletakkan pada tempat yang tidak sesuai.
Rangkap 2
Maksudnya disebabkan sesuatu itu baik, indah bermutu, bernilai tinggi, maka disukai dan digunakan oleh orang.
Rangkap 3
Maksudnya sesuatu yang baik, indah, dan bermutu akan tetap dibeli dan diguna pakai orang walaupun harganya tinggi, mahal atau sukar untuk didapati.
Rangkap 4
Maksudnya sesuatu yang asalnya kelihatan tidak elok, tidak sempurna, andainya diperbaik dengan teliti akan kelihatan baik, cantik dan bernilai.