twitter
rss



.



Pantun empat kerat – dagang
Tanam delima ditengah padang,
Raja berarak dari asahan,
Terimalah saya anaknya dagang,
            Dating dengan kain basahan.

Buah langsat gendong di kain,
Pokok rendang bergantung-gantung,
Bukan dagang datang bermain,
Dagang datang mencari untung.

Kedidi di pasir gosong,
Anak Murai putih dadanya,
Tarik nafas kenangkan untung,
Jatuh berderai air matanya.

Ada anjung tingkapnya empat,
satu pintu hadap ke laut,
anak dagang datang mencari tempat,
sebagai ajal ditunda maut.

Sengkalang kayu sengkawang,
Ketiga dengan kayu kelat,
Dagang saya sudah terbuang,
Sebagai ikan di luar belat.

Anwar Ridhwan ( penelenggara )
Hati Mesra Pantun Melayu Sebelum 1914,2004
Dewan Bahasa dan Pustaka

Maksud pantun/ tema
Pantun ini bertemakan kemanusiaan dan kemasyarakatan yang berkaitan dengan kehidupan anak dagang. Mengupas untung nasib, perasaan, perlakuan, dan penerimaan masyarakat terhadap anak dagang.

Rangkap 1
Penulis menyatakan bahawa anak dagang harus sentiasa merendah diri agar masyarakat dapat menerima kehadiran dirinya, anak dagang yang hidup merempat dan hina.

Rangkap 2
Penulis menyatakan bahawa anak dagang merantau bukanlah untuk membuang masa tetapi untuk mencari kekayaan atau kesenangan bagi membaiki taraf hidup mereka.

Rangkap 3.
Pada rangkap ketiga penulis menyatakan bahawa ada ketikanya seseorang anak dagang ( perantau ) merasa sedih apabila mengenang kan untung nasibnya yang tidak menentu.

Rangkap 4
Pada rangkap keempat penulis menyatakan bahawa anak dagang ( perantau ) terpaksa menempuhi kegetiran hidup mencari tempat tinggal yang sesuai. Anak dagang berusaha dengan keras memperjudikan untung nasib hidupnya bagi mencari tempat yang sesuai untuk mengumpulkan kekayaan dan memperbaiki taraf hidup.

Rangkap 5
Rangkap terakhir anak dagang menyatakan kesedihannya dan mearasa terhina apabila kehadirannya tidak dipedulikan oleh masyarakat sebab miskin dan melarat.


Pantun empat kerat – Adat dan Etika
Anak cina bertimbang madat
Dari Mekasar langsung ke Deli,
Hidup di dunia biar beradat,
Bahasa tidak terjual beli.

Apalah tanda batang putat,
Batang putat bersegi buahnya,
Apalah tanda orang beradat,
Orang beradat tinggi maruahnya.

Batu kucubung warna unggu,
Ditatah berlian batu bermutu,
Adat melayu menyambut tetamu,
Hamparkan tikar lebarkan pintu.

Daun sireh sudah disusun,
Siap dengan gambir dan kapur,
Adat semang pulang ke dusun,
Adat belut pulang ke lumpur.

Harun Mat Piah ( penyelenggara )
Puisi Melayu Tradisional : nasihat dan pengajaran,2004
Dewan Bahasa dan Pustaka


Maksud pantun/ tema
Bertemakan kemanusiaan dan kemasyarakatan yang berkaitan dengan adat dan etika. Untuk mencapai kehidupan yang baik, manusia perlu mengikut aturan hidup yang ditetapkan dan diterima umum oleh ahli masyarakat sebagai sebahagian peraturan, adat, dan etika kehidupan.

Rangkap 1
Maksudnya cara berbahasa seseorang mencerminkn nilai dirinya. Seseorang yang bercakap dengan sopan dan santun di anggap sebagai berbudi bahasa.

Rangkap 2
Maksudnya tingkah laku mencerminkan maruah diri seseorang. Orang yang pandai menjaga tingkah lakunya dipandang tinggi dan bermaruah.

Rangkap 3
Maksudnya bagi orang melayu, meraka mengalu alukan tetamu yang datang berkunjung ke rumah 
Dengan membentangkan tikar baru untuk alas duduk tetamu dan membukakan pintu rumah serta menjemput tetamu masuk. Lambing memuliakan tetamu.

Rangkap 4
Walau kemana sekalipun anak dagang merantau, akhirnya akan kembali semula ke tempat asal. Lamabang tidak melupakan asal usul.



Pantun Empat Kerat-Nasihat
Ada kolam ada masjid,
Tempat orang sembahyang raya,
Tengah malam bulan terbit,
Bintang sebiji membawa cahaya.

Air surut memungut bayam,
Sayur diisi di dalam kantung,
Jangan diikut resmi ayam,
Bertelur sebiji riuh sekampung.

Alang-alang menjeruk asam,
Biar lebih kurang jangan,
Alang-alang menyeluk perkasam,
Biar sampai ke pangkal lengan.

Ambil golok di atas puan,
Hendak berakit ke Kuala Kedah,
Usah dijolok sarang tebuan,
Badan sakit sesal tak sudah.

Harun Mat Piah ( penyelenggara )
Puisi Melayu Tradisional : nasihat dan pengajaran,2004
Dewan Bahasa dan Pustaka

Maksud/tema pantun.
Pantun ini memberikan nasihat kepada manusia kea rah membentuk peribdai yang mulia.

Rangkap 1
Nasihat agar suka menolong orang,membantu dalam kesusahan dan kesulitan. Seperti sebiji bintang yang menyinari langit gelap pada waktu malam untuk memandu arah perjalanan manusia.

Rangkap 2
Nasihat agar kita jangan suka membuat kecoh atau heboh apabila mendapat sesuatu atau berhadapan dengan masalah yang kecil.

Rangkap 3
Maksudnya apabila melakukan sesuatu pekerjaan lakukan dengan bersungguh-sungguh sehingga Berjaya dan hasilnya maksimun.

Rangkap 4
Maksudnya mendapat susah kerana melakukan sesuatu perkara yang tidak elok dan tidak berfikir semasa bertindak. Apabila sudah berlaku, tidak guna menyesal. Sama seperti perbuatan memusnah kan sarang tebuan, menyebabkan badan sakit kerana disengat tebuan berbisa tersebut.

Pantun empat kerat – budi

Akar keladi melilit selasih,
Selasih tumbuh di hujung taman,
Kalungan budi junjungan kasih,
Mesra kenangan sepanjang zaman.

Ambil galah jolok ramunia,
Kait mari sampai berdiri,
Kita hidup atas dunia,
Buat baik taburkan budi.

Ambilkan saya buah delima,
Masak sebiji di balik daun,
Budi tuan saya terima,
Jadi kenangan bertahun-tahun.

Anak dara berkain cukin,
Dari daik bulan puasa,
Tidak kira kaya miskin,
Asalkan baik budi bahasa.

Harun Mat Piah ( penyelenggara )
Puisi Melayu Tradisional : nasihat dan pengajaran,2004
Dewan Bahasa dan Pustaka

Maksud/tema
Berkaitan dengan kepentingan budi, jasa, kesopanan tutur kata, dan tingkah laku dalam kehidupan manusia.

Rangkap 1
Seseorang yang menerima budi dan jasa baik seseorang akan sentiasa mengenangnya sepanjang masa

Rangkap 2
Semasa hidup di dunia, manusia digalakkan berbuat baik, banyak menabur budi dan jasa kerana manusia akan dihormati sewaktu hidup dan dikenang sesudah mati.

Rangkap 3
Budi baik yang diberikan kepada seseorang akan sentiasa diingat, dikenang dan dihargai sepanjang masa.

Rangkap 4
Masyarakat melayu sangat menyanjung nilai budi bahasa, iaitu kesopanan mengatasi soal kebendaan, kekayaan atau kemiskinan seseorang.

Pantun empat kerat-cindai

Naik bukit membeli inai,
Inai tidak berbunga lagi,
Kain songket bertepi cindai,
Cindai tidak berguna lagi.

Kapal berlayar menimbang arus,
Patah kemudi meyusur pantai,
Tuan laksana cindai yang halus,
Sama padan maka dipakai.

Kapal belayar menimbang arus,
Patah kemudi menyusur pantai,
Sudah jumpa songket yang bagus,
Kalah membeli menang memakai.

Dari Makasar pergi Palembang,
Lalu di Ambon ke Majapahit,
Sungguh kasar kainnya jarang,
Kalau ditenun menjadi baik.

Anwar Ridhwan ( penelenggara )
Hati Mesra Pantun Melayu Sebelum 1914,2004
Dewan Bahasa dan Pustaka


Maksud/tema
Pantun ini bertemakan cindai iaitu lambing sesuatu yang perlu sentiasa menjaga mutu atau maruah diri sepanjang masa agar terus dipandang mulia dan berharga.

Rangkap 1
Maksudnya sesuatu ( barangan atau sifat manusia ) yang baik atau bernilai tidak akan terserlah nilainya atau tidak berguna, jika diletakkan pada tempat yang tidak sesuai.

Rangkap 2
Maksudnya disebabkan sesuatu itu baik, indah bermutu, bernilai tinggi, maka disukai dan digunakan oleh orang.

Rangkap 3
Maksudnya sesuatu yang baik, indah, dan bermutu akan tetap dibeli dan diguna pakai orang walaupun harganya tinggi, mahal atau sukar untuk didapati.

Rangkap 4
Maksudnya sesuatu yang asalnya kelihatan tidak elok, tidak sempurna, andainya diperbaik dengan teliti akan kelihatan baik, cantik dan bernilai.


Berdasarkan Teks Kajian Terdapat 4 Puisi Melayu Lama
1. Pantun
2. Syair
3. Gurindam
4. Seloka

1. PANTUN
Kedudukan Pantun dalam Puisi Melayu Tradisi
a. Milik melayu asli.  Berbanding dengan syair, seloka dan gurindam, pantun adalah puis yang lahir daripada maysarakat melayu tradisi yang amat tinggi nilainya.
b. Puisi Melayu yang tertua., iaitu yang pertama sekali lahir dalam masyarakat Melayu.
c. Mempunyai kepelbagaian bentuk. Ada yang 2 kerat, 4 kerat, lapan kerat, berkait dan seterusnya.
d. Popular dalam semua lapisan masyarakat. Pantun terkenal di kalangan orang tua, orang muda dan  kanak-kanak.
e. Mampu membawa tema yang pelbagai seperti kasih sayang, nasihat, agama, adat, budi,cinta, cinta, dan sebagainya
f. Mampu membawa makna yang tersirat secara halus dan berkesan. Ini sesuai dgn jiwa masyarakat melayu yang suka mendidik secara halus.
g. Mudah dicipta secara spontan
h. Mencerminkan pancaran nilai budaya Melayu
Nota :  perlu kemukakan contoh dalam menjawab soalan.
 
Ciri-ciri kelebihan pantun
a. Wujud pembayang dan maksud dalam setiap rangkap.  Ciri ini tidak terdapat dalam puisi yang lain.
b. Boleh berdiri sendiri kerana setiap rangkap pantun sudah membawa makna yang lengkap berbanding dengan syair yang memerlukan perkaitan dengan rangkap2 berikutnya.
c. Rima tengah atau jedanya ditekan di dalam pantun, tetapi tidak demikian dalam puisi lain.
d. Ada unsur persamaan dengan puisi lain terutama syair seperti dari segi rima akhirnya, jumlah perkataan dan sukukata.

Kepentingan pantun
a. pantun dapat disulami dalam puisi melayuu yang lain bagi mempelbagaikan ungakapan. Contohnya dalam nyanyian rakyat. Gurindam. Bahasa berirama dll.
b. Membantu mempertingkatkan daya estetika (keindahan) puisi-puisi lain.
c. Menjadi pemanis kata dan pengindah bicara dalam ungkapan-ungkapan bahasa yang puitis.
d. Melambangkan budaya tinggi dalam ciptaan sastera.


2. SYAIR
Definisi
Syair ialah jenis puisi melayu lama yang berangkap dan setiap rangkapnya mengandung 4 baris ayat yang kesemuanya membawa makna isi dan maksud.  Keempat-empat baris itu  pula berirama sama.
Syair sering membawa makna isi yang berhubung dengan kias ibarat. Sindiran , nasihat, pengajaran, agama dan juga berasakan sejarah atau dongeng.
 
Ciri-ciri bentuk Syair
a. Merupakan puisi terikat.
b. Rangkap : jumlah baris serangkap tetap iaitu 4 baris. Setiap baris dalam rangkap merupakan idea atau maksud atau isi cerita syair itu.  Ini bermakna syair tidak mempunyai pembayang seperti pantun.  Cerita dalam setiap baris dalam serangkap itu perlu bersambungan dari satu rangkap ke satu rangkap untuk membawa kesatuan yang lengkap bagi keseluruhan syair tersebut
c. Perkataan :  bilangan perkataan sebaris tetap iaitu 4-5 perkataan sebaris
d. Sukukata :  Bilangan sukukata sebaris juga tetap iaitu antara 8-12 sukukata dalam sebaris
e. Rima:  Rima  akhir dalam serangkap juga tetap iaitu a/a/a/a
 
3. GURINDAM
Ciri-ciri bentuk Gurindam
a. Merupakan puisi bebas atau tidak terikat
b. Rangkap :  Mempunyai 2 baris dalam serangkap atau beberapa baris dalam serangkap.  Setiap baris dalam rangkap merupakan isi atau maksud dan perlu bersambung dengan baris-baris dalam rangkap berikutnya untuk membawa makna yang lengkap.
Baris pertama dikenali sebagai “syarat” dan baris kedua dikenali sebagai “jawab”. Baris pertama “syarat” menyatakan sesuatu fikiran atau peristiwa dan baris kedua pula menyatakan keterangan atau menjelaskan apa yang telah dinyatakan oleh baris atau ayat pertama tadi.
c. Perkataan :  jumlah perkataan sebaris juga tidak tetap.
d. Sukukata :  julah sukukata juga tidak tetap.
e. Rima : rima akhirnya juga tidak tetap

4. SELOKA
Ciri-ciri bentuk
a. Merupakan puis bebas atau tidak terikat
b. Rangkap :  Bilangan baris dalam serangkap tidak tetap
c. Perkataan : jumlah perkataan dalam sebaris juga tidak tetap.
d. Sukukata :  jumlah sukukata dalam sebaris juga tidak tetap.
e. Rima :  Rima akhirnya dalam serangkap juga tidak tetap.


Cerpen Gersang karya Masniah Kalyubi

SINOPSIS
Memaparkan kisah seorang lelaki tua peminta sedekah yang terjumpa seorang bayi di dalam tong sampah. Bayi itu dinamainya Sumi. Meskipun amat tua kerana berusia hampir 100 tahun dan bongkok pula, namun naluri kemanusiaannya yang tinggi membuatkannya dia gigih memelihara Sumi dengan penuh kasih sayang. Pada akhirnya, datang pihak berkuasa ingin meruntuhkan gubuk mereka kerana kawasan setinggan itu akan dibangunkan. Mereka berdua terpaksa hidup bergelandangan kerana gubuk buruk mereka diruntuhkan.

TEMA
Kegigihan dan kasih sayang seorang lelaki tua yang bergelut dengan penderitaan dalam mencari rezeki untuk meneruskan kehidupan. Lelaki tua itu hanya bergantung pada pendapatannya sebagai peminta sedekah di bandar raya Kuala Lumpur untuk meneruskan kehidupan bersama seorang cucu terbuang yang masih kecil iaitu Sumi.

PERSOALAN
1. Persoalan tentang kemiskinan hidup. Contohnya, datuk tua menyara kehidupan dengan menjadi seorang peminta sedekah dan dia juga tinggal di sebuah gubuk buruk di kawasan setinggan di kota Kuala Lumpur bersama dengan seorang anak iaitu Sumi.
2. Persoalan tentang kasih sayang. Contohnya, datuk tua menjaga Sumi dengan penuh kasih sayang seperti anak kandungnya sendiri dan berusaha untuk membahagiakan Sumi walaupun membesarkannya dengan hanya memberi makan hasil huluran tin susu tuanya.
3. Persoalan tentang pembuangan bayi. Contohnya, Sumi telah dijumpai oleh datuk tua di dalam tong sampah dengan keadaan hanya berbalut dengan lampin.
4. Persoalan tentang ketabahan dalam menempuh dugaan hidup. Contohnya, dalam menghadapi dugaan hidup walaupun gubuk buruk yang didiaminya selama ini bersama Sumi di kawasan setinggan telah dirobohkan.
5. Persoalan tentang kegigihan dalam mencari rezeki. Contohnya, datuk tua yang telah berusia hampir 100 tahun dan bongkok pula masih gigih dalam mencari rezeki demi meneruskan hidupnya dan cucu kesayangannya walaupun pekerjaannya itu hanya mengemis di jalanan.
6. Persoalan tentang keyakinan akan Tuhan. Contohnya, datuk tua yakin bahawa walaupun pekerjaannya kini terjejas akibat gubuk buruknya telah dirobohkan tetapi baginya bumi Allah ini luas dan dia masih boleh meneruskan perjuangan untuk mencari rezeki di mana-mana tempat.
8. Persoalan tentang kemajuan pembangunan. Contohnya, Kuala Lumpur merupakan bandar raya yang sudah mengecapi kemajuan pembangunan sehingga menjadikan tempat tersebut lubuk atau pusat pekerjaan penduduk yang sangat penting. Begitu juga, deretan gubuk buruk yang didiami oleh datuk tua bersama dengan penghuni-penghuni yang lain telah dirobohkan untuk tujuan pembangunan.

WATAK DAN PERWATAKAN

Datuk Tua
1. Watak utama cerita.
2. Berusia menjangkau satu abad iaitu hampir 100 tahun.
3. Badannya kurus dan sudah bongkok. Dia berdiri dan berjalan dengan bantuan tongkat.
4. Tinggal di gubuk buruk di kawasan setinggan di Kuala Lumpur.
5. Seorang peminta sedekah.Contohnya, datuk tua selalu mengemis di kaki-kaki lima bandar Kuala Lumpur.
6. Memelihara seorang anak iaitu Sumi yang telah dibuang oleh ibu bapanya di tong sampah.
7. Seorang yang penyayang. Contohnya, dia menjaga Sumi dengan penuh kasih sayang seperti anak kandungnya sendiri dan berusaha menunaikan permintaan .
8. Seorang yang gigih. Contohnya, meskipun datuk tua sudah teramat tua dan bongkok pula tetapi dia gigih memelihara Sumi dengan penuh kasih sayang dan berusaha mencari mencari rezeki untuk membesarkannya.
9. Seorang tua yang mempunyai naluri kemanusiaan yang tinggi. Contohnya, meskipun datuk tua sudah teramat dan seorang peminta sedekah tetapi dengan naluri kemanusiaan yang ada pada dirinya, dia sanggup memelihara Sumi yang dibuang oleh ibu bapanya di tong sampah.
10. Percaya dan yakin akan Tuhan. Contohnya, datuk tua yakin Tuhan akan sentiasa memberi ruang kepadanya untuk mencari rezeki di mana–mana tempat di bumi ini.


Sumi
1. Berumur lima tahun.
2. Korban kezaliman ibu bapa yang tidak bertanggungjawab. Contohnya telah dibuang oleh ibu bapanya di tong sampah dan telah dijumpai oleh datuk tua dengan keadaan yang hanya berbungkus lampin.
3. Dipelihara oleh datuk tua iaitu seorang peminta sedekah yang sudah berusia.
4. Menyayangi datuk tuanya. Contohnya, semasa gubuk buruk tempat tinggal mereka diruntuhkan, Sumi segera mendapatkan datuk tua kesayangannya walaupun sedang sakit. Dia tidak mahu datuk tuanya itu terkial-kial sendirian menanggung segala penderitaan yang dialami.
5. Seorang kanak-kanak yang periang dan mempunyai dua orang kawan iaitu Utih dan Nana.
6. Seorang kanak-kanak yang tidak pernah merasai kesenangan hidup. Contohnya, Sumi tidak pernah merasai kesenangan hidup lantaran ibu bapanya yang membuangnya di tong sampah dan kini, hidup bergantung dengan datuk tuanya yang lemah dan tidak mempunyai apa-apa iaitu mencari rezeki dengan hanya mengemis.




LATAR
(a) Latar Tempat
1. Bandar raya Kuala Lumpur
2. Kaki lima – tempat datuk tua meminta sedekah.
3. Gubuk buruk di kawasan rumah setinggan – tempat datuk tua dan Sumi tinggal.

(c) Latar Masyarakat
1. Masyarakat kota yang miskin. Contohnya, datuk tua mencari rezeki untuk menyara kehidupan dengan hanya meminta sedekah. Dia dan Sumi tinggal di kawasan setinggan iaitu di gubuk buruk tebing sungai.
2. Masyarakat tua yang gigih. Contohnya, datuk tua yang sudah berusia menjangkau 100 tahun dan sudah bongkok masih meneruskan kehidupan mencari rezeki dengan mengemis di jalanan walaupun sudah teramat tua.
3. Masyarakat kota yang murah hati dan berbelas kasihan. Contohnya, masih terdapat segelintir warga kota yang simpati dan bermurah hati dengan memberi sedekah kepada datuk tua.
4. Masyarakat yang penyayang. Contohnya, datuk tua menyayangi Sumi dengan menjaganya dengan penuh kasih sayang seperti anak kandungnya sendiri.
5. Masyarakat yang tidak bertanggungjawab dan berperikemanusiaan. Contohnya, ibu bapa Sumi mewakili masyarakat yang tidak bertanggungjawab dan berperikemanusiaan kerana membuang anak di tong sampah.
6. Masyarakat yang jahil tentang agama. Contohnya, perbuatan ibu bapa Sumi yang membuangnya di tong sampah memperlihatkan kurangnya nilai agama dalam diri sehingga sanggup membuang darah daging sendiri.
7. Masyarakat kota yang sentiasa sibuk. Contohnya, setiap hari masyarakat kota di Kuala Lumpur digambarkan sentiasa sibuk dengan hal dan pekerjaan masing-masing.
8. Masyarakat kota yang terabai dari segi kebajikan. Contohnya, datuk tua dalam keadaannya yang sudah menjangkau usia 100 tahun masih merempat di kota Kuala Lumpur mencari rezeki dengan meminta sedekah tanpa ada bantuan daripada mana-mana pihak untuk menempatkannya di rumah-rumah kebajikan orang-orang tua.


TEKNIK PENCERITAAN
1. Pemerian
- Tatapannya merenung kejauhan lalu menembusi kenderaan dan derap langkah kaki warga kota yang lewat di hadapannya. Pun ketika ada dentingan syiling yang terlontar di dalam tin susunya, tatapannya itu tetap tidak berubah. Getir dan penuh penderitaan, membayangkan warna hidupnya. (MS 93)

2. Imbas Muka/ Flashforward
- Datuk tua sedang merenung dan berfikir untuk mencari jalan penyelesaian bagi masalah yang sedang bersarang dalam kepala. Dia merasakan petang itu merupakan petang bagi segala masalah. (MS 94)

3. Imbas kembali / Flasback
- Datuk tua teringat akan kedatangan lelaki-lelaki asing yang memakai kemeja dan tali leher dengan cara jalan yang begitu gagah di kawasan deretan gubuk-gubuk buruk mereka di tebing sungai. (MS 94-95)

- Datuk tua teringat akan peristiwa dia menjumpai Sumi yang masih bayi di dalam tong sampah dengan hanya berbalut lampin buruk. (MS 96)

- Datuk tua teringat akan Sumi yang sudah pandai merajuk dan bertanya tentang ayah dan ibunya kandungnya. (MS 97)

4. Dialog
- “Tanah ni tanah kerajaan, pak cik. Di tapak tanah ni akan dibina bangunan lapan puluh tingkat.”
“Tapi encik…”
“Tak ada tapi-tapinya lagi. Kalau saya kata pindah, pindah!” (MS 95)

5. Monolog dalaman
- Dia bertanya kepada dirinya lagi. Di manakah peri kemanusiaan warga kota? Di manakah keadilan yang selalu dilaung-laungkan? Dia tidak tahu. Dia juga tidak tahu di manakah haknya sebagai warga kota yang bernaung di bumi merdeka? Mana? Mana? Hatinya menjerit. (MS 96)
- Mungkin ada rezeki lebih hari ini Sumi. Nanti tuk belikan limau. Hatinya berbicara. (MS 97)

6. Monolog
- “Tunggu ya cu, tuk pulang ni!” Dia berbisik sendirian. (MS 99)

7. Suspens
- Langkahnya semakin cepat. Sesekali dia tersepak batu-batu di jalanan. Semakin hampir ke tempat itu semakin kuat bunyi buldozer dan semakin lemah tubuh tuanya. Langkahnya mati tiba-tiba. (MS 99)

NILAI MURNI
1. Kasih sayang. Contohnya, datuk tua menyayangi Sumi dengan menjaganya dengan penuh kasih sayang seperti anak kandungnya sendiri.
2. Pemurah. Contohnya, segelintir warga kota simpati dengan kesusahan yang dialami oleh datuk tua dengan bermurah hati menghulurkan sedekah.
3. Tabah. Contohnya, datuk tua tabah menghadapi dugaan hidup walaupun terpaksa bergelut dengan penderitaan hidup.
4. Kesyukuran. Contohnya, datuk tua sentiasa bersyukur dengan rezeki yang diterimanya hasil daripada meminta sedekah daripada orang lain.
5. Gigih. Contohnya, datuk tua yang telah berusia hampir 100 tahun dan bongkok pula masih gigih dalam mencari rezeki demi meneruskan hidupnya dan cucu kesayangannya walaupun pekerjaannya itu hanya mengemis di jalanan.
6. Bertanggungjawab. Contohnya, datuk tua telah menunaikan tanggungjawab dengan menjaga dan membesarkan Sumi yang telah dibuang oleh ibu bapanya di tong sampah.

AMANAT DAN PENGAJARAN
1. Kita hendaklah tabah menghadapi dugaan dan takdir hidup.
2. Kita perlulah gigih berusaha dalam melakukan sesuatu pekerjaan.
3. Kita mestilah bertimbang rasa dan mempunyai belas kasihan terhadap kesusahan orang lain.
4. Kita haruslah bertanggungjawab terhadap segala perbuatan dan tindakan kita.
5. Kita haruslah sentiasa bersyukur kepada Tuhan untuk setiap rezeki yang diberikan kepada kita.
6. kita hendaklah memberi kasih sayang yang baik terhadap anak-anak.

GAYA BAHASA
1. Simile
- Hitam seperti malam. (MS 93)
- Hatinya bagai digamit untuk melangkah pantas. (MS 99)

2. Personifikasi.
- Hatinya menjerit. (MS 96)

3. Sinkof.
- “Tak ada tapi-tapinya lagi. Kalau saya kata pindah, pindah!” (MS 95)

4. Hiperbola.
- Mengalir air mata darah
- Matahari jam dua belas tegak di atas kepala, memanah mata tua. (MS 94)

back to top