twitter
rss


Sinopsis novel Dari Lembah Ke Puncak

Bab  1
Jalil bangun pagi dan terus mandi di perigi. Ibunya Mak Teh menyediakan sarapan, iaitu pulut kukus  dan  ikan kering. Jalil bersarapan sebaik sahaja selesai mandi. Kemudian, Jalil turun ke sawah. Dia terpaksa bekerja keras untuk memastikan sawahnya bertanam dengan sempurna. Beberapa musim sebelum itu, kerja – kerja sawah tersebut tergendala. Ketika arwah Pak The sedang sakit, sawah tersebut tidak dikerjakan dengan sempurna. Abang Jalil tidak ada di kampung. Jadi, tanggungjawab mengerjakan sawah itu terletak di bahu Jalil sepenuhnya. Arwah Pak The merupakan seorang yang sangat rajin. Beliau juga memiliki kemahiran kerja tangan yang tinggi. Beliau menghasilkan pelbagai alat untuk menangkap ikan menggunakan buluh. Beliau juga menjadikan kegemarannya sebagai sumber pendapatan sampingan dengan menjual ikan di kedai Mamak Hameed. Bagi Jalil, arwah bapanya sering memberikan kata – kata semangat yang dapat dijadikan pegangan. Antaranya, arwah Pak Teh pernah berkata bahawa setiap masalah yang berlaku akan berlalu dan seseorang perlu melalui banyak cabaran sebelum mencapai kejayaan.

Bab  2
Biah ialah anak gadis Pak Ngah Kadir, iaitu jiran Jalil. Biah sangat rajin menorah. Setiap pagi Biah akan ke rumah Jalil untuk meminjam basikal besar peninggalan arwah Pak Teh. Suatu hari, Biah telah ditunangkan. Jalil tidak ambil kisah dengan pertunangan tersebut kerana baginya itu hanya satu perkara biasa. Tiba – tiba, terdengar berita bahawa Biah telah melarikan diri dari rumah. Jalil berasa agak hairan dengan kejadian tersebut kerana Biah menghilangkan diri sebaik sahaja ditunangkan. Kemudian, terdengar khabar bahawa Biah telah ke Kuala Lumpur untuk berjumpa dengan Muhsin, iaitu Abang Jalil. Sekali lagi Jalil berasa pelik kerana setahunya Biah dengan abangnya tidak mempunyai hubungan yang akrab. Kejadian Biah hilang itu mencetuskan pelbagai peristiwa lain. Kudin tiba – tiba sahaja tidak bertegur sapa dengan Jalil sedangkan hubungan mereka amat baik sebelum ini dan sering pergi menonton perlawanan bola sepak bersama – sama. Mak Teh pula melenting apabila ditanya yentang penglibatan Muhsin dalam kejadian tersebut. Mak Teh tidak percaya dengan berita tersebut. Untuk mengesahkan perkara tersebut. Mak Teh telah pergi menilik dengan bomoh Tok Su Dolah. Hasilnya, bomoh itu memang menafikan berita tersebut setelah dibayar upah oleh Mak Teh. Jalil semakin bingung dengan kejadian tersebut. Dia mula membayangkan banyak lagi konflik yang akan terjadi akibat kejadian tersebut. Jalil mula membuat andaian sekiranya benar abangnya terlibat, maka abangnya memang tidak bertanggungjawab.

Bab  3
Berita mengatakan Biah ke Kuala Lumpur untuk berjumpa dengan Muhsin memang benar . Bapa saudara Biah telah pergi ke Kuala Lumpur untuk membawa Biah balik , tetapi Biah enggan . Berita tersebut telah menyebabkan Mak Teh tersentak . Wangnya sudah banyak habis untuk membayar khidmatbomoh yang menafikan pembabitan Muhsin . Kini , kejadian itu memang benar – benar berlaku . Jalil tidak menolak kemungkinan abangnya mempunyai hubungan dengan Biah . Dia semakin tertekan untuk berhadapan dengan orang – orang kampung . Sejak kejadian itu , dia sering ponteng sekolah hingga dimarahi oleh gurunya . Malah , dia juga menjadi mangsa serangan tiga orang pemuda sebagai membalas dendam terhadap kejadian yang berlaku . Kejadian itu menyebabkan Jalil berasa sangat sedih . Dia menghabiskan masa dengan bermenung sama ada di permatang sawah ataupun di puncak Bukit Nibung . Mak Teh meminta bantuan Pak Long Ayob dalam menyelesaikan masalah untuk berunding dengan keluarga Pak Ngah Kadir . Malangnya , Pak Long Ayob hampir menjadi mangsa kemarahan Pak Ngah Kadir . Pak Long Ayob telah diserang ketika beliau dengan Mak Teh berkunjung ke rumah Pak Ngah Kadir untuk berunding . Malam itu , Jalil membawa Mak Teh mengikut Pak Long Ayob ke Guar Chempedak dengan menaiki basikal .

Bab  4 
Kehidupan Jalil menjadi terumbang – ambing selepas kejadian serangan Pak Ngah Kadir terhadap Pak Long Ayob dan Mak Teh . Mak Teh pula telah mengambil keputusan untuk berpindah dari kampung itu . Namun , hasrat itu telah ditentang keras oleh Jalil . Jalil mempersoalkan tindakan ibunya kerana mereka tidak ada tempat untuk dituju . Jalil bertambah tertekan apabila Mak Teh membuat keputusan untuk menjual tanah pusaka warisan Pak Teh itu . Jalil berkonflik dengan ibunya . Namun , ibunya tetap dengan keputusannya untuk berpindah . Mak Teh telah menumpang di rumah Pak Long Ayob di Guar Chempedak . Namun , Jalil mengambil keputusan untuk tetap berada di kampungnya . Dia memegang amanah Pak Teh supaya tetap mempertahankan tanah tersebut . Dia meneruskan persekolahannya walaupun tinggal bersendirian di rumah pusaka itu . Jalil amat terkejut apabila pulang dari sekolah suatu petang . Rumah pusaka tempat tinggalnya sudah tidak ada lagi . Yang ada hanyalah sampah sarap yang menandakan rumah tersebut sudah dirobohkan . Dia menangis mengenangkan nasibnya yang malang itu . Pada malam itu , dia tidur di pangkal pokok kelapa dalam kedinginan malam . Dalam hatinya , dia mula membayangkan bahawa dia juga terpaksa berpindah kerana keadaan semakin mendesak .

Bab  5 
Malam itu , hujan turun dengan lebatnya ketika dinihari . Jalil tidak ada tempat untuk berlindung . Dia teringat akan reban ayam yang kosong di bahagian belakang rumah dahulu . Dalam kegelapan , dia meraba – raba dan mendapati reban itu masih ada . Di situlah dia berlindung walaupun keadaan reban itu tidak menjamin dirinya tidak dibasahi hujan . Besoknya , Jalil terus ke Guar Chempedak untuk menemui Mak Teh . Jalil mahu kepastian tentang pihak yang merobohkan rumah mereka . Mak Teh mengaku bahawa dialah yang telah menyuruh orang merobohkan rumah itu dan akan didirikan di Banggol Lalang . Jalil pula ingin tahu tentang tapak rumah di Banggol Lalang itu . Mak Teh mengatakan bahawa tapak rumah itu telah dibelinya . Jalil bertambah terkejut apabila mengetahui bahawa tanah pusaka arwah Pak Teh telah dijual oleh Mak Teh . Mendengar berita itu , Jalil berasa sangat sedih dan hilang punca . Dia mengambil basikalnya dan terus meninggalkan Mak Teh . Akan tetapi , dia sendiri tidak tahu arah tujuannya . Rumah dan tanah pusaka tidak ada lagi .

Bab  6
 Jalil mendirikan pondok kecil di kawasan bekas rumah yang dirobohkan . Dia menggunakan papan lama daripada dangau mereka di sawah dan juga jelapang padi lama yang tidak digunakan lagi . Bumbungnya pula diperbuat  daripada daun rumbia yang tumbuh di pinggir sawah . Dia menjemur buku – buku sekolah yang basah akibat hujan lebat malam sebelumnya . Ketika dia mengerjakan sawah pada suatu petang , dia ditegur oleh Haji Saad yang mengatakan tanah itu sudah dijual kepada saudara Pak Lang Ali . Jalil terus berjumpa dengan Pak Lang Ali untuk mengetahui perkara yang sebenar . Barulah Jalil tahu bahawa Pak Lang Ali yang memberitahu saudaranya untuk membeli tanah yang dijual murah itu . Jalil meminta Pak Lang Ali membawanya berjumpa dengan Pak Amat yang membeli tanah tersebut . Bagi Jalil , wasiat bapanya untuk mendapatkan hak milik tanah itu sangat besar baginya . Dia sangat menyanjung tinggi sifat bapanya yang rajin . Dia bertekad untuk melaksanakan wasiat tersebut . Jika dia gagal mempertahankan tanah itu , maka dia akan menyesalsepanjang hidupnya . Jalil mahu terus bertahan di situ . Dia memperkukuh binaan pondoknya sedikit demi sedikit . Dia tidak kisah usia remajanya akan terbuang begitu sahaja untuk mempertahankan wasiat arwah bapanya , Pak Teh .       

Bab  7   
Jalil  berbasikal ke rumah Pak Amat berdasarkan panduan yang diberikan oleh Pak Lang Ali . Jalil terus memperkenalkan dirinya dan bertanya tentang tanah pusaka arwah bapanya yang dibeli oleh Pak Amat . Setelah Pak Amat mengakui bahawa dia memang membeli tanah tersebut dengan harga sepuluh ribu ringgit , Jalil berasa Pak Amat mengambil kesempatan atas keadaan ibunya yang terdesak . Kedatangan Jalil tidak begitu disenangi oleh Pak Amat . Jalil pula mahu membuat perjanjian dengan Pak Amat . Dia meminta persetujuan Pak Amat untuk memulangkan tanah tersebut apabila dia mampu membayar balik harga tanah tersebut . Jalil juga memberikan tempoh selama lima hingga sepuluh tahun untuk membayar balik harga tanah melalui kaedah jual janji . Katanya , dia akan mula bekerja sebaik sahaja tamat persekolahan untuk mengumpulkan wang buat menebus tanah pusaka itu kembali . Jalil juga meminta kebenaran Pak Amat agar dia dapat terus tinggal di tanah itu untuk sementara waktu . Dengan sinis , Pak Amat membenarkan Jalil tinggal , tetapi Jalil perlu beredar sekiranya Pak Amat mahu mengerjakan tanah tersebut . Jalil bersetuju dengan syarat tersebut . Jalil kembali ke rumah . Petang itu , dia menghabiskan masa merayau – rayau di sekitar sawah . Dia berhasrat untuk mula menanam anak – anak benih padi . Jalil terpaksa melakukannya sendiri kerana Mak Teh tidak ada lagi di kampung untuk membantunya . Jalil kini berasa terikat dengan dua perjanjian , iaitu perjanjian dengan Pak Amat dan perjanjian dengan arwah Pak Teh untuk mempertahankan tanah tersebut .

Bab  8
Tanah itu maruah bagi Jalil . Pak Teh yang berasal dari Besut telah datang ke Kedah untuk mengambil upah membanting padi . Setelah selesai kerja membanting , Pak Teh membuka kawasan lembah di Bukit Nibung . Usaha Pak Teh itu kemudiannya diikuti oleh orang – orang tempatan . Berbelas – belas tahun kemudian , tanah paya itu menjadi sawah . Penduduk luar mula datang ke kampung itu . Pak Teh hampir berparang dengan Ah Tong yang menceroboh tanahnya . Mujurlah Ah Yau yang telah lama tinggal di situ menyabarkan Pak Teh . Ah Yau menyelesaikan masalah itu dengan Ah Tong . Pak Teh telah beberapa kali berurusan dengan Pejabat Tanah Pendang untuk mendapatkan geran tanah , tetapi permohonan itu tidak pernah diproses sehingga Pak Teh meninggal dunia . Sebelum meninggal dunia , Pak Teh telah berpesan kepada Jalil untuk menguruskan tanah pusaka itu sehingga mendapatkan geran . Pesanan bapanya itu menjadi amanat yang perlu dilaksanakan .
Bab  9
Petang itu , ketika Jalil duduk seorang diri di pangkal pokok kelapa , Latifah , anak gadis bongsu Pak Lang Ali yang tinggal berhampiran dengan rumah Jalil telah mengunjungi jalil . Latifah memberitahu bahawa tanahnya telah dijual dengan harga lima ribu sahaja . Pak Lang Ali mengambil untung dalam keadaan Mak Teh yang terdesak . Jalil tidak dapat tidur lena malam itu . Esoknya , dia pergi ke sekolah seperti biasa . Pulang dari sekolah , sebelah petangnya , Jalil mendapati sebungkus makanan tersangkut pada tiang pangkin . Nasi itu dikirimkan oleh Latifah . Jalil terlalu sedih mengenangkan nasibnya .

Bab  10
Selepas  membuat ulang kaji pelajaran , petang itu Jalil turun ke sawah . Tidak lama lagi benih di semaian akan diubah . Dia teringat semula pesanan arwah bapanya untuk meneruskan usaha mendapatkan geran tanah . Sebahagian daripada tanah bapanya yang dijual kepada Pak Jid belum habis dibayar . Pak Jid akan membayar semua harga tanah apabila dapat geran . Pesanan tersebut menguatkan semangat Jalil untuk melaksanakan tanggungjawab itu . Malam itu , berlaku peristiwa yang melucukan hati Jalil . Kerbau kesayangannya yang ditambat pada tiang pondok telah menyeret tali pengikat . kejadian itu menyebabkan dinding dangaunya terkopak . Esoknya , Jalil membuatkan pondok untuk kerbaunya itu . Dia sedar , kerbau pun tidak mahu dipindahkan dari tempat kebiasaannya .

Bab  11 
Malam itu , Jalil menyedari surau yang lama ditinggalkan selepas Pak Teh meninggal dunia terang – benderang dengan lampu gasolin . Jalil berasa hairan . Dia melihat Pak Lang Ali , Tok Mat Ketua , Ustaz Haji Megat , Pak Ngah Kadir , dan beberapa orang tua kampung berkumpul mengadakan perbincangan . Jalil yang menghampiri surau itu dapat mendengar perbincangan mereka . Mereka merancang untuk menghalau Jalil dari kampung . Jalil sedar , dia perlu berwaspada selepas ini .

Bab  12
Jalil menempuh zaman remajanya tidak seperti remaja yang lain . Dia memikul tanggungjawab yang berat untuk memenuhi pesanan arwah bapanya . Dia teringat bahawa bapanya seorang yang kuat bekerja . Selepas menuai , Pak Teh menangkap burung di sawah . Musim kering , dia mencari ikan darat . Musim kemarau , dia menoreh getah . Begitulah hidup Pak Teh . Jalil pula mempunyai ramai teman yang datang ke rumah untuk membuat wau atau gasing . Segala – galanya tidak berlaku lagi sekarang ini . Jalil meneruskan tugasnya ke sawah . Ketika hendak memulakan kerja mengubah semaian , Jalil terpijak kaca . Dia tahu , kejadian itu dirancang oleh seseorang yang memusuhinya . Ketika merawat luka di kaki , Latifah mengunjungi Jalil . Latifah membantu Jalil untuk merawat lukanya . Dia sedar , dia perlu berhati – hati selepas ini . Jalil dapat menanam padi selepas lukanya sembuh .

Bab  13
Ketika dalam perjalanan ke pekan Bukit Jenun , Jalil bertemu dengan Biah . Biah meminta maaf kerana menyebabkan keluarganya porak – peranda . Biah memberitahu Muhsin tidak bersalah . Dia juga memberitahu bahawa dia telah hamil ketika melarikan diri dari rumah . Ketika pulang melalui depan rumah Pak Ngah Kadir , Jalil terdengar pertengkaran di rumah Biah . Biah enggan berkahwin , tetapi Pak Ngah Kadir memaksa Biah berkahwin . 

Bab  14
Keluarga Pak Ngah Kadir masih mengancam Jalil . Jalil percaya , Kudinlah yang menabur kaca di tapak semaiannya . Suatu hari , Jalil telah ditahan oleh Rosman dan beberapa orang rakannya di jalan . Jalil tahu , Rosman berkawan rapat dengan Kudin . Rosman menuang minyak tanah yang baru dibeli oleh Jalil . Jalil bertindak balas apabila Rosman cuba mengganggunya . Rosman dan kawan – kawannya lari ketakutan . Jalil terpaksa bergelap kerana pelitanya tiada minyak tanah . Latifah mengunjungi Jalil dalam gelap . Kemudian , Latifah mengambil minyak tanah di rumahnya dan diberikan kepada Jalil . Keluarga Pak Lang Ali mengetahui hubungan Latifah dengan Jalil . Pak Lang Ali melarang Latifah menemui Jalil .

Bab  15
Persiapan kenduri kahwin Biah telah bermula . Jalil tidak dijemput ke majlis tersebut . Ketika mengenang dirinya yang dipulaukan oleh orang – orang kampung , Latifah datang membawa nasi dan lauk kenduri . Menurut Latifah , Biah yang menyuruhnya menghantar makanan itu kepada Jalil . Jalil mendapati , ada surat di bawah pinggan makanan itu . Jalil membaca surat yang ditulis oleh Biah . Biah memberitahu bahawa dia menjadi mangsa sumbang mahram . Dia terpaksa berkahwin dengan sepupunya untuk menutup malu . Jalil masih tidak tahu siapa yang menganiayai Biah .

Bab  16 
Jalil kesunyian . Dia teringat akan rakan – rakan rapatnya dahulu . Semuanya menjauhkan diri . Ketika mengelamun itu , dia dikunjungi oleh Mat Tohid . Mat Tohid meminta maaf kerana sudah lama tidak mengunjungi Jalil . Dia memberitahu penyakit sawan babinya semakin teruk . Emak Mat Tohid tidak membenarkannya keluar tanpa Jalil kerana Jalil sahaja yang boleh membantu mat Tohid jika penyakitnya tiba – tiba datang . Mat Tohid mengajak Jalil memancing . Jalil menolak permintaan itu kerana banyak kerja . Mat Tohid meminta maaf lalu meninggalkan Jalil . Selepas maghrib , terdengar bunyi kentung di surau . Jalil mendapat tahu , Mat Tohid mati lemas di sungai . Jalil berasa pilu . Esoknya , dia menziarah jenazah Mat Tohid . Hajatnya untuk turut mengusung jenazah ke perkuburan terbantut kerana Kudin yang mengetuai pengusungan jenazah itu . Dia teringat kata – kata terakhir Mat Tohid yang meminta maaf sebelum meninggalkannya .

Bab  17
Jalil mengetahui sikap Mak Teh yang terburu – buru banyak menimbulkan masalah kepada keluarga . Mak Teh selalu membela Muhsin . Mak Teh mendesak Pak Teh menjual tanah untuk membeli motosikal yang dipinta oleh Muhsin . Akhirnya , tanah mereka terlepas . Motosikal yang dibeli kena samun . Sebenarnya , mungkin kena tarik balik kerana tidak mampu bayar hutang . Baki jualan tanah tidak diterima selagi Pak Cik Jid tidak menerima geran tanah . Mak Teh juga terburu – buru menemui bomoh untuk mengetahui keadaan sebenar Muhsin . Bomoh memberitahu Muhsin tidak terlibat . Peristiwa ini menyebabkan wang yang terkumpul untuk membayar yuran peperiksaan lesap ke tangan bomoh . Mak Teh juga tergesa – gesa merobohkan rumah dan menjual tanah . Mak Teh juga tergesa – gesa membina rumah di Banggol Lalang dengan belanja dua ribu ringgit . Baki tiga ribu ringgit digunakan oleh Mak Teh untuk meminang anak gadis dari Yan buat Muhsin . Kemudian , Muhsin kena tangkap basah di Kuala Lumpur dan wang hantaran tiga ribu itu hangus . Jalil kesal dengan sikap Mak Teh . Namun , dia tetap hormat kepada emaknya itu . Segala yang berlaku itu menambah kekuatan Jalil untuk memegang amanat arwah bapanya .

Bab  18 
Latifah amat mengagumi Jalil yang kuat semangat . Dia tidak ambil endah usikan Hasnah dan Fauziah tentang perhubungannya dengan Jalil . Pagi itu , Latifah tertinggal bas untuk pergi ke sekolah . Hasnah dan Fauziah berpatah balik ke rumah . Latifah serba salah kerana hari itu ada ujian di sekolah . Latifah menahan Jalil untuk menumpang ke sekolah . Jalil yang serba salah akhirnya bersetuju dengan permintaan Latifah . Latifah membonceng basikal Jalil pergi ke sekolah pada pagi itu . Jalil terganggu oleh perasaan resah . Dia tidak lemah semangat untuk mengaku yang dia tewas dengan gangguan perasaan terhadap Latifah .

Bab  19 
Jalil tidak turun ke sawah . Dia memikirkan bayaran peperiksaan SPM . Tiba – tiba , Latifah muncul . Dia menyampaikan wang daripada bapanya untuk membayar peperiksaan SPM . Jalil amat menghargai sumbangan Latifah itu .

Bab  20 
Jalil masih tidak dapat melupakan peristiwa yang dilalui , iaitu peristiwa ibunya merobohkan rumah dan menjual tanah . Peristiwa itu menyebabkan dia kini sebatang kara . Setelah tamat menduduki SPM , Jalil bertekad untuk pindah ke Kuala Lumpur . Dia memberitahu rancangannya kepada Latifah . Dia memajakkan padinya kepada Ah Bee . Dia akan menyerahkan Awang , kerbaunya kepada Pak Samad . Malam itu , dia tidak dapat melelapkan mata memikirkan masa depannya yang belum pasti . Banyak cabaran yang pasti akan dihadapi .

Bab  21 
Jalil ke Tanjung Setul untuk berbincang dengan Pak Samad tentang kerbaunya . Dia singgah di kubur Pak Teh . Dia memasang batu nisan di kubur bapanya . Dia amat sedih ketika hendak berpisah dengan Awang ( kerbaunya ) . Kemudian , Jalil ke Guar Chempedak untuk memberitahu Mak Teh tentang rancangannya . Mak Teh berpesan agar mencari Muhsin di Kuala Lumpur . Jalil kurang senang dengan permintaan Mak Teh . Jalil mengumpulkan kayu – kayu dan membakar dangau tempat tinggalnya . Latifah disertai keluarganya menemui Jalil . Jalil memberitahu bahawa dia akan pergi dan tidak mahu melihat tempat tinggalnya itu . Dia berjanji akan pulang semula ke tempat itu suatu hari nanti . Jalil mengucapkan selamat tinggal kepada semua .
Bab  22
Jalil tiba di Kuala Lumpur pada waktu pagi . Jalil tiada arah tujuan . Dia berkenalan dengan seorang pelukis potret di Pasar Budaya . Jalil menunjukkan  bakat melukis . Dia melukis potret seorang pelanggan . Abang Joe , pemilik gerai lukisan itu berpuas hati dengan hasil lukisan Jalil . Dia bersetuju untuk berkongsi dengan Jalil . Dia mengajak Jalil tinggal bersama – samanya . Jalil menceritakan perjalanan hidupnya kepada Abang Joe . Jalil mencadangkan kepada Abang Joe untuk meluaskan pasaran hasil lukisan mereka . Abang Joe berasa kurang yakin dengan cadangan Jalil itu dapat memenuhi permintaan pelanggan . Keputusan SPM telah diumumkan . Jalil mendapat tahu bahawa keputusannya amat cemerlang . Dia memberitahu Abang Joe untuk tidak menyambung pelajaran . Dia mahu bekerja keras bagi menebus tanah pusaka di kampung . Abang Joe menasihati Jalil untuk terus belajar sambil bekerja . Begitulah caranya orang yang berjaya di Kuala Lumpur . Mereka mempunyai dua tiga pekerjaan dalam satu masa , pagi bekerja di pejabat dan malam sebagai pemandu teksi . Jalil mempunyai idea untuk terus melukis tentang keindahan alam semula jadi dan penghuni di kampungnya .

Bab  23
Kertas kerja untuk memasarkan lukisan ke hotel – hotel telah siap . Jalil dan Joe bergerak dari hotel ke hotel dan memeterai perjanjian dengan hotel yang bersetuju untuk melanggan lukisan mereka . Joe bimbang untuk memenuhi permintaan itu tanpa Jalil . Jalil membuat keputusan untuk belajar di samping terus bekerja dengan Joe . Jalil pulang ke kampung untuk menguruskan hal persekolahannya . Dia juga menemui ibunya di Banggol Lalang . Ibunya masih berharap agar Jalil mencari abangnya , Muhsin .             

Bab  24
Jalil telah cukup mengumpulkan wang untuk menebus tanah pusaka bapanya . Jalil memberitahu Joe untuk pulang ke kampung menguruskan tanah tersebut . Joe menemani Jalil pulang ke kampung . Jalil melihat tapak rumahnya yang telah ditinggalkan dua tahun lalu . Kemudian , Jalil dan Joe ke rumah Pak Lang Ali untuk dijadikan saksi menemui Pak Amat . Pak Lang Ali enggan bersama – sama Jalil ke rumah Pak Amat . Pak Amat tidak bersetuju dengan harga asal kebun itu . Pak Amat bersetuju untuk melepaskan kebun yang telah memiliki geran itu dengan harga lima puluh ribu mengikut harga semasa . Jalil kecewa . Inilah kesan jual janji secara lisan . Jalil dan Joe pulang ke Kuala Lumpur malam itu juga . Joe hanya mendiamkan diri . Dia yakin Jalil dapat membuat keputusan yang terbaik .

Bab  25
Jalil tidak mudah kecewa dengan peristiwa kegagalan untuk menebus tanah pusaka . Dia berbeza dengan adik – beradiknya yang lain yang mudah kecewa . Dia memandang positif tentang keputusan Pak Amat . Memang wajar Pak Amat meletakkan harga tanah berlipat ganda sekarang . Tanah itu telah mempunyai geran . Lebuh raya telah dibina berhampiran dengan kampung mereka . Justeru , nilai harga tanah pasti melambung . Jalil keluar rumah untuk berjalan – jalan di bandar bagi melepaskan tekanan . Dia melihat anak – anak muda pelajar sekolah yang berambut panjang dan tidak menggambarkan seorang pelajar . Dia bertemu dengan seorang bekas tentera yang mencari rezeki dengan bermain muzik . Fenomena ini memberikan ilham kepada Jalil untuk membuat kertas kerja projek yang melibatkan Kementerian Pelajaran dengan Persatuan Bekas Perajurit . Melalui projek ini , Kementerian Pelajaran mengenakan bayaran tetap untuk menggunting rambut pelajar yang dikelolakan oleh Persatuan Bekas Perajurit . Persatuan Bekas Perajurit mendapat keuntungan dan wang itu digunakan untuk membela nasib pesara tentera . Syarikat Alam Hijau mendapat royalti sebanyak dua juta ringgit hasil idea bernas itu . Sementara , pengajian Jalil akan tamat dua tahun lagi.
Bab  26 
Dua tahun lagi Jalil akan menamatkan pengajian di Universiti Putra Malaysia di peringkat Diploma Landskap dan Seni Taman . Sejak dari sekolah dia memang menunjukkan kecemerlangan dalam aliran sains . Melihat prestasinya yang cemerlang di universiti , Jalil ditawarkan melanjutkan pengajian di peringkat sarjana muda dan mendapat biasiswa . Projek membeli lukisan pelukis – pelukis jalanan dan Projek Gunting Rambut Seluruh Negara memberikan pulangan royalti kepada Syarikat Alam Hijau . Setelah tamat pengajian , Jalil mendapatkan lesen kontrak dalam bidang seni taman dan landskap . Jalil berasa lega dengan kejayaannya . Kejayaan ini membolehkan Jalil membuka beberapa anak syarikat di bawah nama “ Nibung ” untuk meluaskan perniagaannya . Syarikat tersebut ialah Nibung Construction , Nibung Dekor , dan Syarikat Pengangkutan Nibung . Jalil juga mendapat anugerah CEO of the Year yang semakin melonjakkan namanya . Namun , tekad untuk mendapatkan hak milik tanah bapanya masih tersemat kukuh .   

Bab  27
Jalil menjalankan temu duga di Wisma Seri Nibung untuk memilih pengawai akaun Syarikat Alam Hijau . Jalil terkejut apabila salah seorang yang ditemu duga itu ialah Latifah . Jalil menganggap jawatan itu paling sesuai dengan Latifah kerana dia berhasrat untuk memajukan kampung kelahiran mereka .

Bab  28 
Pertemuan dengan Latifah memberikan sinar baru kepada Jalil . Dia teringat akan zaman persekolahannya bersama – sama Latifah . Jalil menceritakan segala – galanya tentang Latifah kepada Joe . Sementara itu , Joe juga menceritakan kisah peribadinya . Dia anak yatim piatu . Perkahwinannya dengan seorang gadis pilihan mendapat tentangan daripada ibu bapa gadis itu . Dia berkahwin dalam tempoh seminggu kerana isterinya meninggal dunia akibat kanser . Peristiwa itu membuatkan Joe mengambil keputusan berhijrah ke bandar . Sehingga kini , Jalil masih tidak mengetahui status Latifah . Joe menasihati Jalil bahawa jodoh pertemuan itu di tangan Tuhan .

Bab  29
Jalil masih tidak dapat melupakan Latifah dan zaman kanak – kanaknya . Latifah satu – satunya orang kampung yang mahu berhubung dengannya . Ketika membawa Latifah bersiar – siar di Pantai Morib, Jalil banyak bertanya tentang perkembangan kampung yang telah lama ditinggalkan . Latifah menceritakan kisah keluarga Pak Ngah Kadir yang porak – peranda . Biah telah diceraikan oleh suaminya beberapa bulan selepas berkahwin . Pak Ngah Kadir dipenjarakan kerana melakukan sumbang mahram . Isterinya dimasukkan ke hospital mental kerana menghadapi tekanan . Biah menghilangkan diri dari kampung . Kudin mewarisi sikap bapanya . Jelaslah , Muhsin tidak bersalah . Jalil kesal kerana peristiwa itu menyebabkan keluarganya merana . Latifah juga menceritakan keluarga Ngah Berahim , bapa Mat Tohid yang berpindah ke Baloh . Kampung itu semakin sunyi kerana penghuninya berpindah ke tempat lain .

Bab  30
Syarikat Alam Hijau semakin berkembang dan tersenarai dalam papan utama Bursa Saham Kuala Lumpur . Syarikat itu melebarkan operasi ke luar negara . Jalil kini memiliki segala – galanya . Namun, dia belum berpuas hati selagi belum mencapai hasratnya . Jalil menyediakan kertas cadangan projek mega yang dipersetujui oleh lembaga pengarah . Projek Pembinaan Taman Tema Lembah Nibung . Jalil dapat merasionalkan ahli mesyuarat walaupun projek itu rancangannya sendiri . Dia mendapat kerjasama daripada syarikat antarabangsa dari Norway . Jalil juga sudah memikirkan kesan pembangunan tersebut . Dia akan menyediakan peluang pekerjaan dan menyediakan petempatan baru untuk penduduk kampung .

Bab  31 
Surau kampung Bukit Nibung hari itu sungguh meriah . Joe mewakili Syarikat Alam Hijau menerangkan projek taman tema di kampung tersebut . Dia telah mendapat persetujuan daripada penduduk kampung , kecuali Kudin . Dia bertindak agresif . Mujurlah orang kampung tidak menyokong tindakan Kudin . Joe menerangkan projek yang dirancang serta kebajikan yang diterima oleh penduduk kampung . Joe memberitahu bahawa tuan punya syarikat yang menjalankan projek ini ialah anak kelahiran tempat tersebut . Projek ini mendapat sokongan majoriti penduduk kampung . Kudin tidak percaya kerana dia mengenali semua penduduk kampung . Beberapa minggu kemudian , satu perjanjian ditandatangani oleh Syarikat Alam Hijau dengan penduduk kampung . Setelah semuanya selesai , baharulah Jalil muncul . Dia menaiki kereta mewah dan berpakaian seluar koyak dan baju lusuh . Orang – orang kampung terkejut apabila mengenali Jalil , anak Pak Teh . Kudin menarik balik persetujuan apabila mengetahui pemilik syarikat itu ialah Jalil . Jalil tidak menghalang kerana niatnya ikhlas untuk menebus tanah miliknya dan memajukan kampungnya .

Bab  32
Segala perancangan siap diatur . Jalil memohon cuti daripada Joe untuk pulang ke kampung . Dia melihat kawasan kampung ; tapak rumahnya , rumah Pak Lang Ali serta rumah Pak Ngah Kadir . Di Pekan Bukit Jenun , dia bertemu dengan Ah Bee . Ah Bee . Ah Bee telah cacat tangannya kerana mendapat kemalangan dalam kebakaran . Ah Bee memiliki kedai yang lebih besar . Kemudian , Jalil ke Tanjung Setul , melawat kubur arwah Pak Teh . Dia memohon restu dengan arwah bapanya . Dia mengatakan telah Berjaya menunaikan amanat bapanya . Kemudian , Jalil bersembahyang Maghrib di masjid Kampung Bukit Nibung . Jalil terus ke Banggol Lalang menemui ibunya . Dia memberitahu ibunya untuk memohon restu membangunkan tanah pusaka yang menjadi miliknya semula .

Bab  33
Segala keperluan telah disiapkan untuk memajukan Bukit Nibung . Pampasan kepada penduduk kampung telah dibayar . Mereka akan ditempatkan di apartmen di pinggir kawasan Taman Tema Nibung Park yang bakal dibangunkan . Jalil telah merancang kedudukan pejabat operasi di tapak rumahnya dulu . Tanah sawah bapanya dijadikan kawasan rekreasi air . Kereta kabel dibina di antara Bukit Nibung dengan Bukit Jenun . Projek yang dirancang oleh Jalil itu benar – benar dikagumi oleh Latifah . Projek itu telah mengubah dimensi kampung mereka .   

Bab  34 
Persiapan untuk perasmian taman tema itu telah lengkap . Kampung itu telah berubah dengan terbinanya kereta kabel , skyrail , roller coaster , sebuah dome pantai buatan , kawasan rekreasi air , taman tumbuhan eksotik , dan berbagai – bagai kemudahan lagi yang menarik pelancong luar . Majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan , Kesenian dan Pelancongan . Jalil turut memberikan ucapan dengan mengucapkan kesyukuran serta sanjungan kepada penduduk kampung. Dia turut menceritakan cabaran dan pengalaman yang ditempuh sehingga berjaya merealisasikan amanah yang dipegang kukuh . Pada hari itu , penduduk kampung diberi peluang menikmati kemudahan di taman secara percuma .

Bab  35
Taman Tema Nibung Park pun telah beroperasi . Jalil membawa ibunya tinggal di rumah baru yang dibina di tapak lama rumahnya . Jalil memindahkan pejabat operasi utama dari Kuala Lumpur ke Lembah Nibung , iaitu di Wisma Seri Nibung . Joe mengambil alih operasi di pejabat Kuala Lumpur . Jalil mengakhiri zaman bujang dan berkahwin dengan Latifah . Jalil melamar Latifah dengan mengimbas kembali zaman kanak – kanak mereka di kampung . Kemudian , mereka berjalan – jalan di sekitar taman dan menaiki kereta kabel .

Bab  36
Keseluruhan projek taman tema itu telah disiapkan . Taman ini menjadi tarikan utama pelancong ke utara tanah air . Pelancong datang dari dalam dan luar negara . Sebuah resort dibina bagi menampung pelancong luar yang ingin menginap di sini . Di kawasan ini telah dibina safari yang dibuka dua puluh empat jam . Di tempat ini juga dibina sebuah masjid . Jalil membina banglo di atas tapak rumahnya dulu . Dia menguruskan perniagaannya dari rumah . Dia berasa puas melihat anak – anak muda bermain di taman air . Dia tidak pernah merasai kegembiraan itu pada usia remaja dahulu .


back to top